Saturday, 29 September 2012

INTIPATI BAJET 2013


Berikut adalah ulangan Intipati Bajet 2013 secara betulis yang telah disampaikan perdana mentaeri Malaysia di parlimen pada 28 September 2012.
1. Pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus. * KDNK nominal dijangka melepasi paras RM1.0 trilion.
2. Peruntukan RM251.6 bilion bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.
3. Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan 2013 dianggarkan meningkat kepada RM208.6 bilion.
4. Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.
5. RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.
6. Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.
7. Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.
8. SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.
9. Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.
10. Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan. * Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.
11. Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.
12. Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
13. DanaInfra Nasional Bhd akan terbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk biayai pembangunan MRT.
14. Perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit akan diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
15. Pelabur individu diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.
16. Suruhanjaya Sekuriti perkenal inisiatif Graduate Representative Program dengan sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan.
17. Peruntukan modal Danajamin ditambah sebanyak RM400 juta dalam tempoh dua tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara RM4.0 bilion hingga RM6.0 bilion.
18. RM100 juta disediakan kepada Yayasan Pasaran Modal melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti.
19. Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus Tun Razak Exchange, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah.
20. Yayasan Wakaf Malaysia, di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat dengan mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri.
21. RM9.0 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.
22. Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1.0 bilion akan disediakan oleh SME Bank untuk membantu PKS membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.
23. Skim Jaminan Modal Kerja akan dilanjutkan sehingga Disember 2013, dan diperluaskan kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi serta kelayakan manakala dana pemegang saham syarikat ditingkatkan kepada RM20 juta.
24. Pembiayaan TEKUN bagi usahawan kecil dan sederharna diberi peruntukkan RM350 juta termasuk RM50 juta bagi Skim Usahawan Masyarakat India.
25. Skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah RM200 juta akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures dengan kerajaan memberi subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus dan jaminan 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan.
26. Peruntukan sebanyak RM19 juta bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.
27. Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan.
28. Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.
29. Potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.
30. Dana Skim Pembiayaan Teknologi Hijau akan ditambah sebanyak RM2.0 bilion lagi dan tempoh permohonan skim ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015
31. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada tiga peratus menjelang 2015
32. Sistem percukaian negara akan diperkukuhkan dengan sistem cukai yang menyeluruh dan saksama
33. Perolehan kerajaan dan pembelian adalah berdasarkan prinsip “nilai untuk wang”
34. Peruntukkan RM6 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi. Antara projek yang dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah, klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.
35. Peruntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah pada harga berpatutan di kawasan strategik, dan akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan Jabatan Perumahan Negara.
36. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun mulai tarikh perolehan dikenakan pada kadar 15 peratus, bagi tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun dikenakan pada kadar 10 peratus dan bagi tempoh pegangan melebihi lima tahun tidak dikenakan CKHT.
37. Peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai
38. Insentif cukai pemulihan rumah terbengkalai untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta
39. Kadar cukai pendapatan diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000.
40. Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan antara satu dan tujuh mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan bercukai.
41. Felda akan membangunkan 20,000 projek perumahan dalam kawasan Felda, membaiki rumah-rumah kampung tradisi, program latihan dan latihan kemahiran.
42. Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah untuk pelajar prasekolah di kawasan pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.
43. Syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan RM500 juta untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam sekitar.
44.  Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat one-off sebanyak RM200 akan diberikan bagi pembelian satu unit telefon pintar 3G daripada peniaga yang dibenarkan. Inisiatif ini adalah untuk belia yang berusia antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3, 000 dan ke bawah. Sejumlah RM300 juta diperuntukkan memberi manfaat kepada 1.5 juta belia.
45. Bantuan Rakyat Satu Malaysia atau BR1M 2.0 diberi kepada yang layak, kriteria sama seperti BR1M pertama iaitu pendapatan RM3,000 ke bawah. Sebagai tambahan BR1M 2.0 diperluaskan kepada individu bujang 21 tahun ke atas dan pendapatan bawah RM2,000 akan memperolehi RM250 seorang membabitkan peruntukan kerajaan RM3 bilion.
46. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku Satu Malaysia kepada setiap pelajar IPTA dan pra-universiti. Untuk itu, nilai baucar akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250.
47. Bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga RM3,000.
48. Bonus penjawat awam sebulan setengah gaji secara berkala tiga 3 bulan.
Antara intipati yang dapat dikongsikan bersama.


Sunday, 16 September 2012

SEJARAH

PENUBUHAN MALAYSIA
Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di depan Persatuan Wartawan Asing di sebuah hotel di Singapura pada 27 Mei 1961, menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei Sarawak, dan Sabah. Antara lain, ia bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis, mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik idea tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan Sabah yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri.

Untuk memberikan kebebasan dan keadilan kepada semua pihak, pada 17 Januari 1962 sebuah suruhanjaya yang akan meninjau pandangan penduduk negeri-negeri tersebut telah diumumkan dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Secara keseluruhan, lebih lapan puluh peratus bersetuju dengan gagasan tersebut dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut telah diserahkan kepada kerajaan British.

Kata sepakat telah dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne.
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan wujud pada 31hb Ogos, 1963.

Ketika ura-ura pembentukan Malaysia menjadi kenyataan, Filipina dan Indonesia menentang keras gagasan tersebut. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya manakala Indonesia yang mempunyai perancangan mewujudkan Indonesia Raya telah cuba menggagalkan usaha tersebut dengan lebih keras lagi dengan mengisytiharkan Konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Tentera Indonesia dihantar menyusup sempadan Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak serta Johor.

Cabaran getir yang dihadapi ini tidak mematahkan semangat pemimpin dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah untuk melihat satu negara bersatu. Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoroti penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malaysia.

Pengisytiharan tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam Persekutuan Malaysia iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong Ningkan. Bagaimanapun, penyertaan Singapura hanya mampu bertahan selama dua tahun apabila terpaksa berpisah pada 1965.

Assalamualaiikum kepada pembaca semua. hari ini adalah 16 september 2012 iaitu sempena HARI MALAYSIA. Sempena hari Malaysia kali ini sama-samalah kita berjuang demi negara kita tercinta.



SELAMAT HARI MALAYSIA!!!!